Wednesday, 12 June 2019

Pecahan Saham

PECAHAN SAHAM
=====================
Pernah tak anda mengalami situasi di mana saham yang dibeli berubah harga menjadi lebih rendah tetapi jumlah saham anda bertambah? Itu semua disebabkan tindakan korporat yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Secara ringkasnya, pecahan saham seumpama anda mempunyai sekeping RM100. Kemudian, syarikat ingin menukarkan duit itu menjadi 2 keping RM50. Nilainya tetap sama, RM100.

Pecahan saham merupakan satu tindakan korporat yang akan menambahkan jumlah unit saham, seterusnya menurunkan harga saham tersebut. Jadi, modal pasaran syarikat itu tetap tidak berubah. Untuk pecahan saham setiap 1-unit menjadi 2-unit, pelabur akan mendapat 1-unit tambahan untuk setiap 1-unit saham yang ada tetapi harga saham tersebut akan kurang separuh.


Untuk lebih jelas, kita kaji tindakan korporat yang dilaksanakan oleh JHM Consolidation Berhad. Pada asalnya, saham ini didagangkan pada harga RM3.00 dan mempunyai 250 juta saham keseluruhan di mana jumlah modal pasarannya bersamaan RM750 juta. Syarikat itu melaksanakan pecahan saham di mana setiap 1-unit menjadi 2-unit. Sekiranya pelabur memiliki 10,000-unit saham, dia akan menerima 10,000-unit lagi saham tambahan (20,000-unit keseluruhan), tetapi harga diturunkan 50% dari RM3.00 menjadi RM1.50. Anda akan lihat modal pasaran tidak berubah tetapi jumlah unit saham keseluruhan akan meningkat kepada 500 juta saham dan harga saham turun 50% menjadi RM1.50.

Cara paling mudah untuk mengira harga baru saham selepas pecahan saham adalah dengan membahagikan harga saham sebelumnya dengan nisbah pecahan saham tersebut. Dalam scenario JHM ianya bersamaan RM3.00 / (2/1) = RM1.50.

Jadi apa gunanya melakukan pecahan saham jika tidak mengubah nilai modal pasaran syarikat? Ada beberapa sebab syarikat melaksanakan pecahan saham:

1.       Psikologi: Apabila harga saham kian meningkat tinggi, pelabur mula merasakan harga telah terlalu tinggi untuk dibeli dan pelabur kecil-kecilan mungkin tidak mampu membeli. Jadi tindakan korporat ini akan menurunkan harga kepada paras yang lebih menarik. Walaupun nilainya tidak berubah, tetapi harga saham yang rendah akan menarik perhatian pelabur. Ia juga membuat pelabur merasakan mereka memiliki lebih banyak saham untuk didagangkan.

2.       Liquidity: Apabila jumlah saham bertambah dan harga berkurang, ini akan meningkatkan volume pembeli dan penjual serta menurunkan bidaan minimum saham tersebut. Sebagai contoh, saham NESTLE di mana harga mencecah ratusan ringgit, volume pembeli dan penjual amat kecil dan bidaan minimumnya adalah 10 sen berbanding saham bawah RM1.00 di mana bidaan minimumnya adalah 0.5 sen dan volume pembeli dan penjual juga lebih banyak.


Ada yang mengatakan bahawa tindakan korporat ini merupakan satu petunjuk yang baik. Ini kerana harga saham syarikat tersebut meningkat tinggi dan berada dalam prestasi yang baik. Tapi kena ingat, ianya tidak mengubah nilai sebenar saham tersebut.

0 comments:

Post a Comment