Saturday, 10 August 2019

Miliki Hartanah Secara Tidak Langsung Menerusi REIT


ANDA MAMPU MEMILIKI HARTANAH SECARA TIDAK LANGSUNG
==============================
Real Estate Investment Trust (REIT) atau Amanah Pelaburan Hartanah adalah satu dana yang memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menjana pendapatan seperti kompleks membeli-belah, hospital, peladangan, hotel, pejabat dan kilang.

Pihak pengurusan syarikat untuk REIT dibenarkan menolak dividen yang dibayar kepada pemegang saham daripada pendapatan korporat yang dikenakan cukai. Untuk menikmati status bebas cukai ini, aset dan pendapatan REIT mesti datang dari aset hartanah dan mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada jumlah pendapatan kepada pemegang saham setiap tahun.

Apa pula kelebihan membeli REIT? Antaranya:

11. MAMPU MILIK – kos pelaburan cuma sebahagian kecil dari kos memiliki aset hartanah itu secara langsung. Anda boleh memiliki hartanah dengan kos pelaburan minimum.

 2. SENANG BELI & JUAL – lebih mudah dibeli dan dijual berbanding hartanah fizikal. Saham REIT sentiasa sedia ditunaikan kerana ianya didagangkan di pasaran saham.

33. ALIRAN PENDAPATAN STABIL – memberi dividen yang stabil kerana ia hasil daripada sewa yang dibayar oleh penyewa hartanah mereka.

44. PENDEDAHAN KEPADA ASET BERSKALA BESAR – memiliki hartanah yang lebih besar seperti Sunway REIT.

55. PENGURUSAN PROFESIONAL – diuruskan oleh profesional yang akan menambah nilai hasil untuk pelabur di masa hadapan.

Melabur REIT juga memiliki risiko. Antara risiko yang pelabur perlu tahu adalah:

1. Pulangan tidak dijamin – bergantung pada prestasi pasaran hartanah.
2. Hilang kawalan pelaburan – keputusan jual beli hartanah dibuat oleh pihak pengurusan.
3. Faktor pasaran – bergantung pada permintaan dan bekalan, prestasi ekonomi dan kadar faedah negara.

Biasanya, pelabur REIT akan menikmati pulangan dalam bentuk dividen seperti yang termaktub dalam dasar REIT serta kenaikan harga saham REIT.

Bagi pelabur yang lebih arif dalam REIT, mereka akan mengambil kira jenis hartanah, lokasi, potensi pertumbuhan, sponsor, struktur kewangan, rekod pengurusan dan tadbir urus REIT. Mereka juga mengambil tahu prestasi REIT dengan mengambil kira:

1.  HASIL DIVIDEN: Jumlah dividen yang diberi dibahagikan dengan Harga REIT yang dibeli
2.  NILAI ASET BERSIH: Jumlah aset ditolakkan dengan jumlah liabiliti
3. RIZAB PERBELANJAAN PENGURUSAN: Peratusan perbelanjaan operasi pada Nilai Aset Bersih
4.  JUMLAH PULANGAN: Perubahan harga REIT ditambah dengan dividen yang diterima

Apa pula perbezaan REIT dengan syarikat hartanah?


REIT
SYARIKAT HARTANAH
PENDAPATAN
Hasil sewa hartanah
Penjualan harta, keuntungan pembangunan, hasil sewa dan pelaburan hartanah
STRUKTUR MODAL & ALIRAN TUNAI
Pendapatan yang lebih rendah, hutang lebih kurang dan aliran tunai yang kuat
Selalunya hutang yang tinggi, aliran tunai negatif dan pengagihan dividen rendah
DASAR DIVIDEN
90% - 100% daripada pendapatan sebelum cukai
Tiada kepastian mengenai dasar dividen
RISIKO
Risiko rendah, pelaburan pasif dari aliran tunai hasil sewaan dari perjanjian pajakan dengan penyewa
Risiko pembangunan dan kewangan yang tinggi
TADBIR URUS KORPORAT
Melibatkan pemegang saham, pengurus, pemegang amanah dan pihak berkuasa
Didominasi oleh pemegang saham terbesar


Konsep Pasaran Saham Bursa Malaysia


PASARAN SAHAM BURSA MALAYSIA
===============================
Masih ada sebilangan besar golongan yang masih tidak jelas mengenai pasaran saham. Ada yang bekerja dengan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia pun, cuma tahu bahawa mereka boleh menjual saham apabila saham itu dimasukkan ke dalam akaun CDS sekiranya syarikat memberikan saham kepada pekerja.

Ini adalah penerangan secara ringkas kepada mereka yang masih tidak faham mengenai konsep saham dan Bursa Malaysia.

Pasaran saham adalah tempat di mana saham syarikat dibeli dan dijual. Ia memberikan syarikat akses untuk mendapatkan modal perniagaan dan memberikan pelabur peluang untuk memiliki saham syarikat dan menikmati keuntungan daripada prestasi syarikat di masa hadapan.

Anda hanya boleh membeli saham menerusi pasaran saham seperti Bursa Malaysia di mana saham dibeli dan dijual mengikut peraturan dan garis panduan yang ketat. Ada lebih 900 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia yang menawarkan pelbagai pilihan pelaburan kepada pelabur tempatan dan global. Syarikat tersenarai sama ada dalam pasaran Main Market, ACE Market atau pun LEAP Market.

Pasaran saham dicipta oleh syarikat-syarikat yang ingin meningkatkan modal untuk perniagaan mereka. Semua syarikat memerlukan modal bagi mencari peluang mengembangkan perniagaan.  Kebanyakan syarikat yang baru memulakan perniagaan selalunya susah untuk mencari modal. Salah satu cara untuk mendapatkan modal ini adalah dengan mengapungkan syarikat mereka di pasaran saham. Ini melibatkan proses menjual sebahagian saham syarikat kepada pelabur individu dan pelabur institusi yang mana mereka bebas berdagang saham syarikat di pasaran terbuka. Untuk membeli saham syarikat yang baru tersenarai ini mesti melalui IPO atau Initial Public Offering.

Apabila IPO dikeluarkan, anda boleh dapatkan salinan prospektus dan menghantar permohonan saham yang lengkap. Ada 3 saluran untuk mendapatkan IPO iaitu saluran pelabur terpilih, saluran MITI dan saluran awam. Atau pun anda boleh juga membeli saham tersebut di pasaran terbuka apabila ia diapungkan dalam Bursa Malaysia. Anda juga boleh mendapatkan maklumat IPO daripada broker saham anda.

Syarikat yang dah tersenarai dalam Bursa Malaysia pun masih boleh mendapatkan modal tambahan dengan menawarkan pelabur mereka peluang untuk menambah pegangan saham dalam syarikat. Sebagai contoh, syarikat tersebut boleh menawarkan 1 saham tambahan pada harga RM0.20 untuk setiap 5 saham yang pelabur miliki.

Apabila anda membeli saham syarikat, anda juga adalah merupakan sebahagian pemilik syarikat. Jadi bagi mereka yang bekerja dalam syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan mendapat saham syarikat, mereka bukan sahaja pekerja malah sebahagian pemilik syarikat tersebut. Apabila syarikat menjana keuntungan, selalunya pelabur akan dapat berkongsi keuntungan tersebut dalam bentuk dividen. Kalau nak tahu besar ke kecil nilai syarikat, kita perlu darabkan jumlah saham yang dikeluarkan dengan harga pasaran.