Sunday, 26 August 2018

Apa Itu Saham Syarikat?


SAHAM SYARIKAT
======================
Jika anda membeli saham sesebuah syarikat, anda telah menjadi salah seorang pemilik syarikat tersebut. Anda akan mendapat hak ke atas keuntungan syarikat jika diberikan dividen, dan hak mengundi dalam membentuk pengurusan syarikat serta aset syarikat. Peranan pihak pengurusan adalah untuk mengutamakan kepentingan para pemegang saham. Mereka bekerja untuk anda.

Sebagai pemilik syarikat, anda ingin memaksimumkan nilai pelaburan anda, dan matlamat pihak pengurusan adalah untuk memaksimumkan nilai pemegang saham melalui harga saham. Sekiranya harga saham meningkat, ia merupakan salah satu tanda bahawa pihak pengurusan telah melakukan kerja yang baik.

Tetapi harga saham juga boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang berada di luar kawalan pihak pengurusan seperti prestasi relatif pesaing dan industri, pertimbangan geopolitik, perubahan sentimen pelabur, dasar monetari ... dan banyak lagi.

Pasaran saham adalah pasaran jangkaan. Harga saham ditentukan oleh prospek masa depan. Sebagai contoh, apa yang terjadi pada pasaran dunia termasuk Bursa Malaysia pada ketika ini adalah hasil jangkaan inflasi yang akan meningkat tinggi, seterusnya mendorong bank pusat seperti Federal Reserves menaikkan kadar faedah sebanyak 4 kali berbanding 3 kali yang dijangkakan pada tahun ini. Juga, jangkaan dana akan beralih ke aset yang lebih selamat seperti US Treasuries dari aset yang berisiko seperti saham.

0 comments:

Post a Comment