Wednesday, 12 June 2019

Pecahan Saham

PECAHAN SAHAM
=====================
Pernah tak anda mengalami situasi di mana saham yang dibeli berubah harga menjadi lebih rendah tetapi jumlah saham anda bertambah? Itu semua disebabkan tindakan korporat yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Secara ringkasnya, pecahan saham seumpama anda mempunyai sekeping RM100. Kemudian, syarikat ingin menukarkan duit itu menjadi 2 keping RM50. Nilainya tetap sama, RM100.

Pecahan saham merupakan satu tindakan korporat yang akan menambahkan jumlah unit saham, seterusnya menurunkan harga saham tersebut. Jadi, modal pasaran syarikat itu tetap tidak berubah. Untuk pecahan saham setiap 1-unit menjadi 2-unit, pelabur akan mendapat 1-unit tambahan untuk setiap 1-unit saham yang ada tetapi harga saham tersebut akan kurang separuh.


Untuk lebih jelas, kita kaji tindakan korporat yang dilaksanakan oleh JHM Consolidation Berhad. Pada asalnya, saham ini didagangkan pada harga RM3.00 dan mempunyai 250 juta saham keseluruhan di mana jumlah modal pasarannya bersamaan RM750 juta. Syarikat itu melaksanakan pecahan saham di mana setiap 1-unit menjadi 2-unit. Sekiranya pelabur memiliki 10,000-unit saham, dia akan menerima 10,000-unit lagi saham tambahan (20,000-unit keseluruhan), tetapi harga diturunkan 50% dari RM3.00 menjadi RM1.50. Anda akan lihat modal pasaran tidak berubah tetapi jumlah unit saham keseluruhan akan meningkat kepada 500 juta saham dan harga saham turun 50% menjadi RM1.50.

Cara paling mudah untuk mengira harga baru saham selepas pecahan saham adalah dengan membahagikan harga saham sebelumnya dengan nisbah pecahan saham tersebut. Dalam scenario JHM ianya bersamaan RM3.00 / (2/1) = RM1.50.

Jadi apa gunanya melakukan pecahan saham jika tidak mengubah nilai modal pasaran syarikat? Ada beberapa sebab syarikat melaksanakan pecahan saham:

1.       Psikologi: Apabila harga saham kian meningkat tinggi, pelabur mula merasakan harga telah terlalu tinggi untuk dibeli dan pelabur kecil-kecilan mungkin tidak mampu membeli. Jadi tindakan korporat ini akan menurunkan harga kepada paras yang lebih menarik. Walaupun nilainya tidak berubah, tetapi harga saham yang rendah akan menarik perhatian pelabur. Ia juga membuat pelabur merasakan mereka memiliki lebih banyak saham untuk didagangkan.

2.       Liquidity: Apabila jumlah saham bertambah dan harga berkurang, ini akan meningkatkan volume pembeli dan penjual serta menurunkan bidaan minimum saham tersebut. Sebagai contoh, saham NESTLE di mana harga mencecah ratusan ringgit, volume pembeli dan penjual amat kecil dan bidaan minimumnya adalah 10 sen berbanding saham bawah RM1.00 di mana bidaan minimumnya adalah 0.5 sen dan volume pembeli dan penjual juga lebih banyak.


Ada yang mengatakan bahawa tindakan korporat ini merupakan satu petunjuk yang baik. Ini kerana harga saham syarikat tersebut meningkat tinggi dan berada dalam prestasi yang baik. Tapi kena ingat, ianya tidak mengubah nilai sebenar saham tersebut.

Penyatuan Saham

PENYATUAN SAHAM
=========================
Pernah tak anda melihat harga saham pegangan anda tiba-tiba meningkat melampau tinggi tetapi unit saham anda juga berkurang? Jangan terlalu ghairah, kerana itu sebenarnya adalah satu tindakan korporat syarikat yang dinamakan sebagai penyatuan saham. Nilai saham anda sebenarnya tidak berubah.

Berlawanan dengan pecahan saham, tindakan korporat ini seumpama anda mempunyai 2 keping RM50, tetapi syarikat mahu menukarnya menjadi 1 keping RM100. Nilainya tetap sama iaitu RM100.

Penyatuan saham merupakan satu tindakan korporat yang menyatukan sejumlah unit saham menjadi unit saham yang lebih kecil. Proses ini melibatkan syarikat mengurangkan jumlah saham keseluruhannya di dalam pasaran yang selalunya memberi bayangan bahawa syarikat dalam keadaan bermasalah. Tindakan korporat ini dilaksanakan dengan membahagikan unit saham milik pelabur dengan nisbah penyatuan saham tersebut.

Tindakan korporat ini tidak mempengaruhi nilai syarikat tetapi selalunya dilaksanakan akibat syarikat mengalami penurunan harga saham yang besar.

Sebagai contoh, kita ambil tindakan korporat yang dilaksanakan oleh syarikat Vortex Consolidation Berhad di mana mereka mempunyai 600 juta unit jumlah saham keseluruhan yang didagangkan pada harga RM0.08.  Oleh kerana harga saham mereka terlalu rendah, mereka ingin membuatkan harga meningkat tinggi dengan menyatukan setiap 2-unit saham kepada 1-unit saham. Sekiranya anda memiliki 100,000-unit saham VC sebelum tindakan korporat dilaksanakan, anda akan memiliki (100,000/2) 50,000-unit saham VC pada harga (RM0.08 * 2) RM0.16 selepas ia dilaksanakan. Jadi nilai pelaburan anda dan modal pasaran syarikat juga tidak berubah.

Secara ringkasnya, tindakan korporat ini menyatukan sejumlah saham menjadi lebih kecil pada harga lebih tinggi. Ianya tidak mengubah nilai syarikat. Pelabur juga tidak menganggap ia sebagai satu tindakan yang positif kerana ianya dilaksanakan akibat harga saham telah jatuh teruk dan syarikat ingin membuatkan harga naik tanpa meningkatkan sebarang nilai kepada perniagaan syarikat. Jadi selepas ini, sekiranya anda melihat saham anda tiba-tiba meningkat melampau tinggi, semak kembali pengumuman yang telah dibuat oleh syarikat kepada Bursa Malaysia. 

Unit saham baru dalam pegangan anda akan dikemaskinikan selepas 3 hari bekerja (T+3) apabila ia dilaksanakan. Bermula pada 29 April 2019, Bursa Malaysia akan menukarkan tempoh penyelesaian kontrak dari 3 hari (T+3) kepada 2 hari (T+2).

Lagenda Argentina


ARGENTINA PADA SUATU KETIKA DULU
============================

Jika anda melihat bendera Argentina ini, saya pasti ramai yang terus terbayang ikon bola sepak terkenal, Leonal Messi!

Tapi tahukah anda Argentina bukan sekadar terkenal dengan lagenda bola sepaknya seperti Diego Maradona sahaja?

100 tahun dahulu, Argentina merupakan antara 10 negara terkaya di dunia, berada di belakang US & UK tetapi di hadapan Jerman & Perancis. KDNK per kapita mereka 4 kali lebih besar dari Brazil yang kini termasuk dalam kelompok negara membangun yang besar.

Kini, pendapatan per kapitanya lebih rendah dari separuh purata negara OECD (Organization for Economic Co-operation & Development). Sejak 1930, Argentina telah mengalami 6 kali rampasan kuasa tentera sebelum kembali demokrasi 30 tahun lepas. Mereka juga mudah terdedah dengan hiperinflasi di mana kadar inflasi melebihi 1000% yang menyebabkan matawang mereka tersungkur.

100 tahun lalu mereka terlalu kaya dengan sumber alam. Ekonomi pertanian mereka berkembang maju dan merupakan pengeluar komoditi daging & gandum terbesar dunia.

Tetapi mereka tidak membangunkan sektor sekunder & tertiari untuk mempelbagaikan sumber ekonomi. Mereka terlalu bergantung kepada modal pelaburan asing & kurang modal pelaburan tempatan untuk meneroka sumber lain.

Apabila berlakunya kejutan di pasaran dunia, di mana harga merudum & akses untuk pasaran eksport tersekat, ekonomi mereka terus tumbang. Mereka juga tidak membangunkan tenaga kerja tempatan kerana terlalu bergantung kepada tenaga kerja murah. Mereka yang berpendidikan hanya dari golongan elit. Mereka juga tidak mempunyai institusi yang membina dan melaksanakan polisi yang berkesan.

Menurut Paul Collier dari buku beliau Natural Resources Trap menunjukkan amat susah bagi negara yang kaya dengan sumber asli untuk membina sebuah ekonomi yang mampan sekiranya terlalu bergantung pada sumber asli semata.