Monday, 4 March 2019

Sebelum Mula Melabur Part 6: Bina Pelan Dagangan

BINA PELAN DAGANGAN ANDA
============================

Berdagang saham merupakan satu kebarangkalian, bukannya satu kepastian. Dengan adanya pelan dagangan, ia akan meningkatkan kebarangkalian untuk anda berjaya.

Pelan itu akan menetapkan garis panduan untuk:

1. Memilih saham apa untuk dibeli
2. Memilih harga saham untuk dibeli
3. Memilih harga saham untuk dijual

STRUKTUR PELAN DAGANGAN ANDA

1. Pasaran Yang Kuat:
Sebelum memilih saham untuk dibeli, pastikan pasaran berada di fasa yang positif. Jika pasaran saham berada dalam keadaan negatif dalam beberapa minggu atau lebih, ianya bukan masa yang sesuai untuk berada dalam pasaran. Jika majoriti saham berada dalam keadaan menurun atau mendatar, kebarangkalian untuk anda membeli saham yang akan naik dalam masa singkat amat nipis.

2. Sektor Yang Kuat:
Selepas mengenal pasti pasaran berada dalam keadaan positif, cari sektor yang sudah menunjukkan prestasi yang kuat dalam beberapa minggu. Sektor-sektor ini memiliki saham yang berprestasi baik dan harga yang kian meningkat.

Cari saham yang memiliki carta menaik (uptrend) dalam sektor tersebut, bermaksud harga sudah menunjukkan perubahan arah dalam beberapa minggu yang lepas.

Saham ini dijangka akan terus meningkat kerana ia telah menarik sentimen pasaran yang positif. Saham tersebut lebih menarik untuk dimasukkan ke dalam portfolio jika memiliki liquidity yang tinggi kerana anda berpotensi menjual saham tersebut pada harga yang anda inginkan.

3. Strategi Jual:
Selepas memasukkan saham-saham tersebut dalam portfolio, anda kena ada strategi jual sekiranya saham tersebut menunjukkan tanda-tanda perubahan arah. Strategi ini yang dinamakan ‘CUTLOSS’ untuk memastikan saham tersebut tidak menghasilkan kerugian yang besar.

Ini adalah penerangan ringkas mengenai Pelan Dagangan. Ini merupakan asas untuk memilih saham yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menaik serta pengurusan risiko untuk memelihara modal anda. Ini adalah 3 perkara utama yang kena tahu untuk berjaya dalam pasaran saham.

Friday, 1 March 2019

Sebelum Mula Melabur Part 5: Beli Saham Yang Liquid


SEBELUM MULA MELABUR PART 5: BELI SAHAM YANG LIQUID SAHAJA
================================
Tengok dekat bahagian ‘Volume’ pada platform. Ini adalah jumlah saham yang telah didagangkan pada hari tersebut. Jika kita darabkan jumlah ini dengan harga saham tersebut, kita akan dapat tahu berapa nilai saham yang dah bertukar tangan pada hari itu. Jika jumlah tersebut tinggi, bermakna saham tersebut liquid, di mana saham itu senang dibeli dan yang lebih penting senang juga dijual. Perkara terakhir yang kita ingin terjadi selepas membeli saham adalah tersangkut kerana tidak ada pembeli mencukupi ketika ingin menjual saham.

Senario:

Harga tutup saham OFI adalah RM0.30 dan volume adalah sebanyak 1,000 lot. Ini bermaksud saham bernilai RM3,000 telah didagangkan secara purata pada hari tersebut. Dengan kata lain, OFI mempunyai purata nilai dagangan sebanyak RM3,000 setiap hari.

Sekarang anda mempunyai saham OFI bernilai RM10,000 yang anda ingin jual. Jika anda masukkan kesemua order jual anda dalam pasaran, anda telah masukkan jumlah dagangan yang bersamaan purata 3 hari dagangan. Jadi susah untuk dapatkan pembeli yang mencukupi ketika anda ingin menjual saham tersebut pada harga yang anda inginkan.

Untuk memastikan anda melabur dalam saham yang liquid, beli saham yang mempunyai nilai dagangan sekurang kurangnya 10 kali lagi besar dari jumlah yang anda ingin laburkan. Jika anda ingin melabur RM10,000 dalam sesebuah saham, pastikan saham tersebut mempunyai purata dagangan minimum RM100,000 sehari.

Sebelum Mula Melabur Part 4: Jangan Beli & Peram




JANGAN BELI DAN PERAM
============================

Pasaran saham Malaysia adalah antara pasaran saham terkuat dan paling dinamik di dunia. Wow! Antara sebabnya adalah kita mempunyai institusi dan agensi pelaburan yang besar seperti KWSP, PNB & Khazanah. Jadi jika berlakunya penjualan oleh pelabur asing, kebiasaannya akan dibeli semula oleh institusi atau agensi pelaburan kita.

Tapi kena ingat, walaupun pasaran saham keseluruhan selalu pulih selepas kejatuhan harga saham, tetapi bukan semua saham-saham syarikat akan pulih. Ini kerana pada waktu ekonomi kukuh pun akan ada syarikat yang mengalami kerugian yang besar.

Jadi seeloknya beli saham yang dalam keadaan menaik (uptrend) dan jual saham yang dalam keadaan menurun (downtrend). Ini dapat mengelakkan dari mengalami kerugian yang lebih teruk. Ini juga adalah rahsia mengalahkan prestasi indeks dan mencapai keuntungan yang lebih tinggi.

Sebelum Mula Melabur Part 3: Ikut Trend


Ikut Trend
========================

Trend merupakan asas dalam dagangan. Jika harga saham naik, kita boleh buat keuntungan dari kenaikan tersebut. Jika harga saham jatuh, kita perlu cari peluang yang lain. Elakkan membeli saham yang tengah jatuh.


Terdapat lebih 900 saham syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia. Jika kita ingin semak saham ini satu-satu memang akan makan masa. Jadi, seeloknya beli ikut trend dan cari sektor yang terkuat dalam pasaran.


Sektor merupakan sekumpulan syarikat yang terlibat dalam industri yang sama. Biasanya keseluruhan sektor akan terjejas bergantung kepada keadaan ekonomi semasa, jadi sektor akan mengikut trend yang sama. Tetapi saham-saham syarikat dalam sektor ini mungkin bergerak pada tahap yang berbeza.


Walaupun rata-rata pelabur baru akan membeli saham yang menaik, ada juga yang menggunakan strategi membeli saham yang menurun. Proses ini melibatkan membeli saham setiap kali harga jatuh, supaya purata kos saham akan menurun pada setiap pembelian. Strategi 'buru harga murah' ini sebenarnya lebih berisiko kerana harga saham mungkin tidak akan pulih. Atau harga saham juga mungkin akan jatuh lagi sebelum menjadi stabil, tetapi pelabur perlu bersabar menunggu harga pulih dari kerugian sebelum mendapat keuntungan. Dalam senario ini, dana pelabur yang sepatutnya boleh membeli saham lain yang berpotensi terpaksa diperam dulu.


Jadi anda perlu tahu bahawa berdagang mengikut trend sangat kritikal untuk berjaya. Ramai yang ingin beli harga di bawah carta dan jual di puncak carta. Tetapi yang beli harga rendah belum tentu boleh naik kembali. Sebab itu terdapat banyak nasihat kepada pelabur supaya 'berkawan' dengan trend.