Wednesday 9 June 2021

Perbezaan Melabur Dalam ETF & Amanah Saham

 


Bagi pelabur yang belum mengenal ETF, ia adalah pelaburan dalam sekumpulan saham atau bon atau lain lain instrumen yang menjejaki prestasi sesuatu indeks. Dengan kata lain, ianya sama seperti amanah saham tetapi ETF disenaraikan & didagangkan di dalam Bursa Malaysia.

 

4 KELEBIHAN MELABUR DI DALAM ETF:

1. Diversifikasi – pelabur dapat pendedahan kepada sekelompok sekuriti dalam satu transaksi & lebih efisien dalam mendapatkan pendedahan pelaburan serantau & antarabangsa.

2. Kos RendahETF tidak mengenakan caj jualan seperti amanah saham & mempunyai yuran pengurusan yang lebih rendah.

3. Diniagakan seperti saham – urusniaga ETF boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang hari dagangan.

4. Telus – Harga ETF juga boleh dilihat pada bila-bila masa sepanjang hari dagangan.

 

ETF sama seperti membeli & menjual saham, pelabur perlu membayar komisyen broker, duti setem & yuran penjelasan. Ia juga didagangkan dalam lot dagangan minima 100 unit. Urusniaganya akan diselesaikan tidak lewat daripada 2 hari dagangan selepas tarikh urusniaga (T+2) & ianya perlu dibeli secara tunai, bukan menggunakan margin atau pinjaman.

 

Harga pasaran ETF biasanya hampir sama dengan Nilai Aset Bersih (NAV) dana, iaitu nilai pasaran asas saham & sebarang pendapatan bersih tidak diagih. NAV ini yang orang kira untuk tentukan nilai sesebuah unit amanah saham.

 

Pengagihan dividen ETF kepada pemegangnya adalah sama ada secara tahunan atau separuh tahunan. Pelabur disarankan membaca & memahami dasar agihan di dalam prospektus atau dokumen tawaran ETF.

 

Sepertimana pelaburan saham, pelaburan ETF juga tertakluk kepada risiko turun & naik pasaran tetapi ianya berlaku pada kadar yang lebih rendah berbanding pelaburan saham. Harganya boleh berubah dan dipengaruhi oleh permintaan & penawaran semasa di dalam pasaran saham. Pulangan dan prestasi ETF juga boleh dipengaruhi secara langsung oleh prestasi komponen asasnya.

 

Sebelum mula melabur dalam ETF, antara perkara yang perlu diambil peduli oleh pelabur:

1. Objektif & strategi pelaburan

2.Maklumat mengenai indeks yang dijejaki

3. Dasar dividen

4. Yuran & caj yang perlu ditanggung

5. Sumber maklumat dagangan ETF

6. Maklumat mengenai syarikat pengurusan

 

PERBANDINGAN ANTARA ETF, SAHAM & AMANAH SAHAM:

ETF & amanah saham mempunyai diversifikasi aset. ETF & saham boleh dibeli & dijual melalui broker manakala urusniaga amanah saham boleh dilaksanakan melalui agen. Pembelian ETF akan diselesaikan dalam tempoh T+2 manakala amanah saham akan diselesaikan dalam kadar segera.

 

ETF & saham tidak mempunyai caj jualan seperti yang dikenakan pada amanah saham sekitar 1.5% - 5.5% tetapi mempunyai komisyen broker, yuran penjelasan & duti setem yang lebih rendah. Dari segi yuran pengurusan pula, ETF mengenakan yuran pada kadar kurang daripada 1% manakala amanah saham mengenakan yuran dalam 1% - 2%.

 

Terdapat pelbagai jenis ETF yang ada di Bursa Malaysia seperti:

1. ABFMY1 – yang merupakan ETF pendapatan tetap/bon

2. MyETFDJ – yang merupakan ETF ekuiti shariah

3. GOLDETF – yang merupakan ETF komoditi shariah

Kesimpulannya, jika pelabur inginkan pelaburan jangka panjang dengan dividen yang agak stabil seperti amanah saham, ETF merupakan instrumen yang sesuai untuk diterokai. Pastikan anda mempunyai akaun CDS untuk memulakan pelaburan.

Monday 30 September 2019

Kecenderungan Tingkah Laku Pelabur


KECENDERUNGAN TINGKAH LAKU YANG MEMPENGARUHI KEPUTUSAN PELABUR
===============================

Ada kajian mengenai tingkah laku pelabur bertujuan mengenal pasti pengaruh psikologi dalam membuat keputusan pelaburan. Ia mengkaji impak psikologi tersebut dalam pasaran. Kajian ini berdasarkan fakta bahawa pelabur tidak sentiasa rasional dan mempunyai had dalam mengawal diri mereka dan selalunya dipengaruhi oleh kecenderungan mereka sendiri. Antara kecenderungan yang sering berlaku kepada pelabur dalam pasaran adalah:

1.  Takut Kerugian: Ramai orang takut rugi. Untuk mengelakkan perasaan rugi, ada pelabur yang menyimpan pelaburan yang rugi terlalu lama atau menjual terlalu cepat apabila pasaran pulih selepas kejatuhan yang teruk. Ini membuatkan mereka kehilangan potensi keuntungan yang lebih baik diperlukan untuk mencapai objektif mereka. Lagi banyak dia rugi, lagi kuat perasaan takut dia ingin melabur lagi.

2.   Takut Risiko: Pelabur tidak gemar keadaan tidak menentu. Mereka akan memilih pilihan yang mereka selesa berbanding pilihan yang asing bagi mereka walaupun ia boleh memberi ganjaran yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ramai orang cenderung memilih meletakkan wang mereka ke dalam Tabung Haji atau ASB berbanding belajar melabur saham secara langsung dalam Bursa Malaysia.

3.  Terlebih Yakin: Ada pelabur berasakan mereka mempunyai kewangan yang kukuh tetapi sebenarnya masih belum mencukupi akan membuatkan mereka menjadi pedagang saham yang sangat aktif yang yakin mereka boleh menewaskan pasaran dengan berdagang dalam tempoh masa yang singkat. Tetapi hakikatnya mereka gagal melakukannya secara konsisten sehingga kerugian mereka alami melebihi kemampuan mereka.

4.  Pilih Kasih: Ada pelabur mencari maklumat untuk mengesahkan pandangan mereka dan menolak sebarang maklumat yang bercanggah dengan pandangan mereka. Kecenderungan ini menghadkan kebolehan mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik dengan mengambil kira faktor lain dari perspektif berbeza.

5.  Kurang Keyakinan: Cuma 1 dari 10 orang pesara berasakan selesa untuk berbelanja dengan simpanan persaraan mereka. Ramai tidak yakin simpanan mereka boleh bertahan lama. Ini dipanggil risiko gaya hidup iaitu risiko tidak dapat menikmati gaya hidup yang mereka impikan kelak. Ini menyebabkan mereka kurang keinginan untuk melabur.

6.  Mentaliti Berkumpulan: Ada pelabur membuat keputusan pelaburan akibat dipengaruhi oleh orang ramai atau kawan-kawan. Mereka terikut dengan apa yang orang lain lakukan walaupun kemampuan mereka sangat berbeza. Mereka dipengaruhi dengan emosi dan naluri, bukannya analisis mengikut fakta yang sebenar.

Kecenderungan ini sering mempengaruhi pelabur untuk membuat pelaburan yang lebih baik. Dengan adanya pendidikan dan latihan terutamanya melalui analisis teknikal, pelabur boleh membuat pelaburan dengan lebih objektif dan mengawal risiko pelaburan mereka dengan lebih baik.

Saturday 10 August 2019

Miliki Hartanah Secara Tidak Langsung Menerusi REIT


ANDA MAMPU MEMILIKI HARTANAH SECARA TIDAK LANGSUNG
==============================
Real Estate Investment Trust (REIT) atau Amanah Pelaburan Hartanah adalah satu dana yang memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menjana pendapatan seperti kompleks membeli-belah, hospital, peladangan, hotel, pejabat dan kilang.

Pihak pengurusan syarikat untuk REIT dibenarkan menolak dividen yang dibayar kepada pemegang saham daripada pendapatan korporat yang dikenakan cukai. Untuk menikmati status bebas cukai ini, aset dan pendapatan REIT mesti datang dari aset hartanah dan mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada jumlah pendapatan kepada pemegang saham setiap tahun.

Apa pula kelebihan membeli REIT? Antaranya:

11. MAMPU MILIK – kos pelaburan cuma sebahagian kecil dari kos memiliki aset hartanah itu secara langsung. Anda boleh memiliki hartanah dengan kos pelaburan minimum.

 2. SENANG BELI & JUAL – lebih mudah dibeli dan dijual berbanding hartanah fizikal. Saham REIT sentiasa sedia ditunaikan kerana ianya didagangkan di pasaran saham.

33. ALIRAN PENDAPATAN STABIL – memberi dividen yang stabil kerana ia hasil daripada sewa yang dibayar oleh penyewa hartanah mereka.

44. PENDEDAHAN KEPADA ASET BERSKALA BESAR – memiliki hartanah yang lebih besar seperti Sunway REIT.

55. PENGURUSAN PROFESIONAL – diuruskan oleh profesional yang akan menambah nilai hasil untuk pelabur di masa hadapan.

Melabur REIT juga memiliki risiko. Antara risiko yang pelabur perlu tahu adalah:

1. Pulangan tidak dijamin – bergantung pada prestasi pasaran hartanah.
2. Hilang kawalan pelaburan – keputusan jual beli hartanah dibuat oleh pihak pengurusan.
3. Faktor pasaran – bergantung pada permintaan dan bekalan, prestasi ekonomi dan kadar faedah negara.

Biasanya, pelabur REIT akan menikmati pulangan dalam bentuk dividen seperti yang termaktub dalam dasar REIT serta kenaikan harga saham REIT.

Bagi pelabur yang lebih arif dalam REIT, mereka akan mengambil kira jenis hartanah, lokasi, potensi pertumbuhan, sponsor, struktur kewangan, rekod pengurusan dan tadbir urus REIT. Mereka juga mengambil tahu prestasi REIT dengan mengambil kira:

1.  HASIL DIVIDEN: Jumlah dividen yang diberi dibahagikan dengan Harga REIT yang dibeli
2.  NILAI ASET BERSIH: Jumlah aset ditolakkan dengan jumlah liabiliti
3. RIZAB PERBELANJAAN PENGURUSAN: Peratusan perbelanjaan operasi pada Nilai Aset Bersih
4.  JUMLAH PULANGAN: Perubahan harga REIT ditambah dengan dividen yang diterima

Apa pula perbezaan REIT dengan syarikat hartanah?


REIT
SYARIKAT HARTANAH
PENDAPATAN
Hasil sewa hartanah
Penjualan harta, keuntungan pembangunan, hasil sewa dan pelaburan hartanah
STRUKTUR MODAL & ALIRAN TUNAI
Pendapatan yang lebih rendah, hutang lebih kurang dan aliran tunai yang kuat
Selalunya hutang yang tinggi, aliran tunai negatif dan pengagihan dividen rendah
DASAR DIVIDEN
90% - 100% daripada pendapatan sebelum cukai
Tiada kepastian mengenai dasar dividen
RISIKO
Risiko rendah, pelaburan pasif dari aliran tunai hasil sewaan dari perjanjian pajakan dengan penyewa
Risiko pembangunan dan kewangan yang tinggi
TADBIR URUS KORPORAT
Melibatkan pemegang saham, pengurus, pemegang amanah dan pihak berkuasa
Didominasi oleh pemegang saham terbesar